Saturday, 23 April 2011

Sebelum dan Sesudah Expert Workshop EDIBLE GARDEN

Kami daripada pihak Pusat Jalur Lebar Felda Gunung Bongsu amat berbesar hati kerana banyak perubahan yang telah dilakukan oleh peserta selepas mengikuti Program Expert Workshop lalu. Antaranya, peserta sudah dapat mengetahui teknik-teknik mengubahsuai landskap di kawasan rumah supaya menjadi lebih menarik dan teratur menggunakan tanaman sayur-sayuran dan herba. 
Selain itu, peserta mendapat pendedahan terhadap produk baru yang boleh dihasilkan dengan menghadiri program ini menggunakan tanaman yang ditanam di kawasan rumah, kerana selama ini mereka hanya menjual hasil tanaman di kedai-kedai runcit atau restoran sahaja. 

Peserta juga bagai disuntik semangat yang baru dengan masing-masing bersemangat untuk menghias rumah kerana baru-baru ini ada di kalangan peserta program ini telah mengetengahkan isu agar program ini diteruskan dengan melibatkan seluruh warga Felda Gunung Bongsu kerana sebelum ini penyertaan peserta agak terhad. Mereka juga lebih semangat untuk menanam sayuran dan herba dengan meminta GPW Felda agar membeli poly bag tanaman secara pukal dan menjualnya mengikut blok-blok di Felda ini.

Lebih membuat pihak PJK berasa terharu dengan sikap peserta apabila mereka sanggup ke Rumah Puan Mahani, pakar yang dijemput untuk menjayakan program Expert Workshop, semata-mata untuk melihat sendiri kawasan rumah beliau, cara penanaman dan cara pengubahsuaian landskap yang dilakukan oleh beliau dan mereka mempraktikkannya di rumah mereka.

PJK sekali lagi mengucapkan syabas dan selamat mencuba kepada seluruh peserta Program Expert Workshop Edible Garden ini. Semoga matlamat anda untuk tersenarai menjadi antara 10 Felda terbaik dalam pertandingan Anugerah Keceriaan Kawasan Kampung Felda (AKKKF) nanti akan dapat dicapai.

Wednesday, 6 April 2011

TAHNIAH PJK Felda Gunung Bongsu!!!

Expert Workshop bertemakan “Edible Garden” yang diadakan di Balai Muafakat, Felda Gunung Bongsu, Kulim, Kedah pada 29 Mac 2011 telah mendapat sambutan hangat daripada penduduk tempatan.

Pada awalnya hanya 20 orang peserta mendaftar untuk mengikuti bengkel ini tetapi seramai 40 peserta  telah hadir pada hari bengkel dilangsungkan.  Sambutan yang di luar jangkaan daripada peneroka dan penerokawati Felda Gunung Bongsu ini amat memberangsangkan dan secara tidak langsung telah memeriahkan lagi majlis yang telah dirancang seawal bulan ….2011 ini.

Tema “Edible Garden” yang dipilih khas oleh PJK Felda Gunung Bongsu untuk sesi Expert Workshop di sini sememangnya amat dinantikan oleh ahli komuniti Felda Gunung Bongsu yang begitu bersemangat untuk mempelajari teknik tanaman “Edible Garden” yang boleh dipraktikkan segera sempena Anugerah Keceriaan Kampung Felda (AKKF) yang  bakal berlangsung pada 3 April 2011.

Pakar yang dijemput khas bagi menjayakan sesi ini adalah Juara  Pertandingan Edible Garden Peringkat Negeri anjuran Jabatan Pertanian Negeri Perak dan Juara Pertandingan Edible Garden Peringkat Kebangsaan anjuran FAMA sempena MAHA 2010 iatu Puan Mahani Binti Jalil. Bengkel ini turut dihadiri oleh tetamu jemputan khas Encik Razali Pengurus Felda Gunung Bongsu, dan isteri,  Ketua Peneroka Felda Gunung Bongsu serta Pengerusi GPW.

Reaksi para peserta yang banyak bertanyakan soalan mengenai “Edible Garden” kepada Puan Mahani diikuti dengan lawak jenaka oleh En Razali ternyata berjaya menghidupkan suasana sekaligus menggambarkan kegembiraan mereka menyertai sesi yang  julung kali diadakan ini. Selesai sesi ini, peserta didapati sangat teruja untuk pulang ke rumah masing-masing dan mengaplikasikan ilmu yang diperolehi.  Kelihatan juga beberapa peserta meninjau-ninjau halaman rumah masing-masing dan mencari ruang yang sesuai untuk membina 'Edible Garden'.

Di akhir bengkel, para peserta sempat menyampaikan hasrat mereka agar lebih banyak program sebegini diadakan dari masa ke semasa oleh PJK Felda Gunung Bongsu.
Bagi pihak penganjur, program ini diharap dapat mencapai objektifnya iaitu menggalakkan penggunaan ICT secara efektif dan seterusnya menggunakan PJK sebagai pusat ilmu komuniti.

Sunday, 27 March 2011

Expert Anda : Edible Garden


    Puan Mahani Jalil adalah anak jati Bagan Serai, Perak. Beliau dilahirkan pada 6 Julai 1961. Anak ketiga daripada 10 adik-beradik ini adalah seorang penerokawati di Felda Ijok. Pada awalnya, beliau hanya berjinak-jinak dengan hobi hiasan landskap sebelum berkecimpung di dalam tanaman Edible Garden ini. 
    Minat dan kesungguhan bercucuk tanam yang mendalam telah membawa kejayaan kepada Puan Mahani apabila beliau telah dinobatkan sebagai Juara Pertandingan Edible Garden Peringkat Negeri anjuran Jabatan Pertanian Negeri Perak dan Juara Pertandingan Edible Garden Peringkat Kebangsaan anjuran FAMA sempena MAHA 2010.

Apa Itu "Edible Garden"?

Edible Garden merupakan satu konsep ‘taman yang menggunakan tanaman yang boleh dimakan’. Dalam erti kata lain, ia juga dikenali sebagai taman sayur-sayuran atau buah-buahan

Idea dan konsep ‘Edible Garden’ ini memang sangat menarik dan mudah diaplikasikan di rumah-rumah terutamanya untuk kawasan perumahan peneroka di sekitar Felda Gunung Bongsu. Hanya dengan memerlukan ruang yang minimum pasti ianya dapat dilaksanakan. 

Jika sebelum ini landskap rumah sering dihiasi dengan bunga-bungaan ianya boleh ditukar ke landskap sayur-sayuran. Justeru, dengan menanam sayur-sayuran, dapat juga membantu anda menjimatkan perbelanjaan bahan-bahan masakan dapur !!
Tanaman "Edible Gardern"
Hasil Tanaman di tepi rumah

Bengkel istimewa untuk peneroka Felda Gunung Bongsu, Kulim, Kedah

    Pusat Jalur Lebar Komuniti (PJK), Felda Gunung Bongsu, Kedah, akan mengadakan satu Program Expert Workshop iaitu Bengkel Edible Garden bersama, Puan Mahani, seorang pakar dalam bidang ini. 
    
    Bengkel yang akan dijalankan selama setengah hari ini akan diadakan secara percuma, khas untuk komuniti Felda Gunung Bongsu sahaja. Penyertaan dibuka kepada peneroka dan penerokawati sekitar Felda Gunung Bongsu dan ianya adalah terhad. Anda boleh menghadirkan diri ke PJK Felda Gunung Bongsu untuk sebarang maklumat lanjut dan seterusnya mendaftarkan diri anda.

    Di samping itu, peserta yang menyertai bengkel ini juga secara tidak langsung akan didedahkan kepada penggunan ICT (internet), di mana setiap nota rujukan, tip & petua, maklumat terkini serta sebarang pertanyaan selepas bengkel boleh dilakukan dengan hanya melalui blog khas ini. 

    Blog ini juga akan berfungsi sebagai sumber maklumat kepada peserta bengkel untuk melayari pautan-pautan lain yang berkaitan.