Tips & Petua

MENANAM DAN MENYUBURKAN TANAMAN

Petua 1
Pesan orang tua² : Jikalau nak menanam apa² jenis tanaman/pokok - mesti tanam di waktu petang yang redup. Insyaallah, pokok mudah hidup.

Petua 2
Beberapa petua dan tips mudah yang mungkin dapat kita cuba pada tanaman kita;

Air Basuhan Ikan
Air basuhan ikan disiram pada tumbuhan untuk menyuburkan tanaman.

Kulit Udang dan Tulang Ikan
* Kulit udang dan tulang ikan sama ada yang belum dimasak atau sisa makanan, ditanam di dalam tanah.
* Tanam pada kedalaman yang sesuai supaya tidak digali oleh kucing kelak.
* Petua ini dikatakan sesuai untuk semua jenis tumbuhan buah-buahan dan juga tanaman hiasan.
* Hasil yang positif dapat dilihat daripada pertumbuhan pucuk dan tunas bunga yang sihat dan subur.

Kulit Bawang
* Air rendaman kulit bawang juga dipercayai dapat menghasilkan pucuk baru dan bunga-bunga yang subur.
* Pada setiap kali selepas mengupas bawang untuk memasak, kulit bawang tersebut sama ada bawang merah atau bawang putih direndam semalaman di dalam air yang secukupnya.
* Air itu kemudian disiram kepada tanaman tanpa membuang kulit bawang tersebut pada keesokan harinya.
* Petua ini hendaklah diamalkan secara kerap.

~ Semoga berhasil pokok yang sihat dan segar bugar ~
* ~ * ~ * ~ * ~ *
:: REMPAH RATUS ::

Kita sering menggunakan rempah ratus dalam masakan, tetapi ramai antara kita tidak mengetahui khasiat sebenar yang terkandung di dalam rempah ratus yang digunakan. Berikut adalah beberapa jenis rempah-ratus dan khasiatnya.

ASAM GELUGOR


Mengandungi Asid Sitrik bersifat antioksida bagi mengatasi obesiti, menyingkirkan lemak dalam badan, melegakan perut dan membantu penghadaman. Asid Hidroksistrik pula bertindak menurunkan berat badan melalui cara mengurangkan selera makan.
 
Khasiat Makanan
Daun Muda dan Bunga : Boleh dimakan sebagai ulam dan boleh juga dicampur di dalam kerabu atau salad.
▪ Kepingan Buah Segar atau yang telah kering : Sebagai penambah perisa di dalam masakan seperti kari, laksa dan sebagainya.
Khasiat Ubatan 
Buah : Ditumbuk halus dengan cuka dan disapu pada tubuh wanita lepas bersalin dapat memberi bentuk badan yang asal kepada wanita tersebut. Juga berguna bagi mereka yang mengalami masalah obesiti dan tahap kolestrol yang tinggi.
Daun : Jusnya diminum untuk mencuci peranakan wanita selepas bersalin dan menjadikan tubuh wanita seperti asal dan mengurangkan tekanan darah tinggi.
Akar dan Daun : Digunakan untuk merawat sakit telinga.

ASAM JAWA

Isinya boleh memberi kesan laksatif atau purgatif. Ekstraknya dapat meningkatkan tahap aspirin. Kulit biji pula mengandungi antioksida yang selamat digunakan manakala daunnya mampu merencat pertumbuhan bakteria. 

Khasiat Makanan
Bunga, Buah Muda, Daun Muda : Sebagai penambah perisa di dalam kerabu dan ulam.
Khasiat Ubatan 
Akar : Digunakan untuk merawat demam kuning dan pendarahan
Buah : Membantu penghadaman, menyejukkan badan , merawat batuk dan digunakan untuk membuat minyak ubatan untuk merawat bisul, bengkak dan penyakit mulur.
Daun : direbus dan diminum untuk merawat batuk,demam campak, diabetes, sakit kerongkong dan selsema di samping dapat menyingkirkan cacing dalam perut.

BAWANG MERAH

Bersifat antibakteria, membuka saluran pernafasan, menghalang pengumpulan sel darah merah dan menurunkan kandungan gula di dalam darah.

Khasiat Makanan
Seluruh Bahagian : Dipotong atau dihiris dan dimakan mentah di dalam kerabu atau acar. Kepingan bawang juga boleh digoreng untuk dijadikan sebagai penambah perisa dan hiasan pada makanan.
Khasiat Ubatan  

▪ Dapat menurunkan kandungan kolestrol tidak baik dan meningkatkan kandungan kolestrol baik. 
▪ Menurunkan tekanan darah.
▪ Menentang demam panas.
▪ Mengurangkan risiko kanser.
▪ Melawaskan pembuangan air kecil. 
▪ Dapat menyembuhkan luka dengan ditumbuk halus dan dicampur dengan madu lebah.
 
BAWANG BESAR

Menentang pencerutan saluran tenggorok , meningkatkan aliran koronari serta dapat meningkatkan aktiviti otot usus, jantung dan rahim. Ia juga boleh menghalang pengumpulan darah, menurunkan tahap gula dalam darah dan juga bersifat antibakteria. Tetapi AWAS ~ jika terlalu kerap dimakan, boleh menyebabkan anda kekurangan darah.

Khasiat Makanan
Daun, Bunga dan Tangkai Bunga : Sebagai perisa dan untuk hiasan makanan.
▪ Seluruh Bahagian : Sebagai penambah perisa masakan. Juga boleh dipotong mentah dan dimakan bersama sate dan acar.

Khasiat Ubatan  
▪ Dapat menurunkan tahap kolestrol yang tidak baik dan menaikkan tahap kolestrol yang baik.
▪ Menurunkan tekanan darah.
▪ Menghalang asma (dicincang halus dan dipanggang dengan madu lebah).
▪ Mengurangkan risiko kanser.
▪ Melawaskan pembuangan air kecil dan haid. 
▪ Menyingkirkan batu karang.
▪ Menghilangkan sesak nafas (ditumbuk lumat dan ditampal pada bahagian dada).
▪ Menyingkirkan kahak (bawang dikisar dan dicampur dengan air limau dan diminum).

BAWANG PUTIH

Ekstraknya berkesan sebagai antibakteria, antikulat, antiinflamasi, antimikrob dan ansektisid. Berfungsi untuk menurunkan tahap kolestrol yang tidak baik, tekanan darah dan toksik. Alisin boleh merencatkan pertumbuhan bakteria.

Khasiat Makanan
Seluruh Bahagian : Boleh dimakan mentah juga boleh digoreng dan dicampurkan ke dalam kerabu dan acar ataupun dibuat jeruk sebagai pembuka selera.
Khasiat Ubatan 


▪ Mengeluarkan angin dalam perut, usus dan kahak.
▪ Merangsang peluh.
▪ Menyingkirkan cacing di dalam perut dan usus.
▪ Sebagai pencuci organ dalam tubuh.
▪ Mengecutkan bisul.
▪ Menghalang buasir.
▪ Mengurangkan masalah keputihan dan melambatkan "menopause" (putus haid).
▪ Menurunkan tekanan darah .
▪ Menurunkan tahap gula dalam darah.
▪ Menaikkan tahap kolestrol baik dan mengurangkan kolestrol tidak baik.
▪ Menambahkan kesan antibeku darah dan mengurangkan kanser.
▪ Menyembuhkan kurap, lecur dan luka (dihancurkan, dicampurkan dengan minyak dan ditampal pada bahagian yang bermasalah).
▪ Menghilangkan batuk , asma dan sakit dada (bebawang dicincang dan dipanggang dengan madu lebah).
 
BELIMBING BULUH


Ekstrak daunnya bersifat antibakteria. Asid sitrik digunakan untuk mengatasi obesiti , menyingkirkan lemak badan, melegakan masalah perut tidak selesa dan menggalakkan penghadaman. Asid oksalik menghindar penyerapan mineral oleh tubuh. Asid oksalik tidak sesuai bagi anda yang mempunyai masalah radang sendi, batu karang, gout dan reumatisme.

Khasiat Makanan
Seluruh Bahagian : Digunakan  untuk membuat acar, jus, kari dan kerabu. Manakala buah yang diperam dengan garam digunakan sebagai perisa dalam makanan dan minuman.
Khasiat Ubatan 
▪ Air rebusan dicampur gula dan diminum bagi melegakan demam panas dan hepatitis.
▪ Merawat batuk, kahak, masalah perut, sakit kerongkong dan tekanan darah tinggi (buah diperam dengan garam dibuat air minuman).
▪ Air rebusan bunga yang segar atau dikeringkan diminum untuk merawat batuk dan sakit kerongkong.
▪ Merawat buasir, demam panas, diabetes, menurunkan saiz badan selepas bersalin dengan meminum air rebusan daunnya.
▪ Menghilangkan jerawat (disapu air rebusan daun pada jerawat).

* ~ * ~ * ~ * ~ *
PANDUAN MENGHIAS LANSKAP EDIBLE GARDEN ANDA


Percaya atau tidak sayur-sayuran dan herba juga boleh menjadikan kawasan kediaman anda cantik dan menarik seperti ini. Di sini disediakan Panduan 8P untuk anda semua memperindahkan kawasan kediaman anda dengan Taman Dapur atau Edible Garden.
1-PEMILIHAN : Harus dititikberatkan dari segi warna dan spesis tumbuhan yang ingin ditanam. 
 2-PENYUSUNAN : Mengikut kreativiti masing-masing berpadanan dengan sudut dan ruang halaman anda. 
3-PEMERHATIAN : Perhatikan pula jenis tumbuhan yang anda pilih dari segi fizikalnya seperti condong atau lurus, daunnya kasar atau halus dan jika disusun sama ada ianya menjalar atau tidak. Jika semua elemen ini diperhatikan, ianya dapat memberikan impak yang menarik kepada taman anda. 
4-PELBAGAIAN : Pelbagaikan ketinggian batas tanaman anda dan hindari daripada batas yang sekata untuk digabungkan dengan bahan binaan yag menarik seperti meletakkan label nama pada tumbuhan, meletakkan batu sungai pelbagai bentuk dan saiz di sekitar batas dan berbagai-bagai lagi bahan binaan yang boleh anda gunakan. 
5-PASU : Pasu juga memainkan peranan penting dalam menghias landskap. Anda seharusnya menggunakan pasu yang pelbagai bentuk, corak dan ketinggian jika hendak disusun dalam bentuk berkelompok. 
6-PARA : Sediakan para jika kawasan rumah anda ruangnya agak terhad kerana para dapat membantu anda meminimakan ruang dengan cara bertingkat-tingkat. Ianya juga memberi kesan yang ringkas dan menarik jika anda bijak memadankannya dan menggunakan tumbuhan yang sesuai dari segi tumbesarannya. 
7-PERMULAAN : Elakkan dari menanam banyak spesies tumbuhan untuk menghindari anda hilang fokus atau perhatian pada tumbuhan di peringkat permulaan. 
8-PENGGUNAAN : Pemilihan tumbuhan harus diambil kira sama ada tanaman bersesuaian dengan tempat atau lokasi anda serta mempunyai keperluan dan jelas penggunaannya untuk aktiviti-aktiviti berkaitan dengan masakan.

** 8P merupakan panduan yang harus ada jika anda ingin menjadikan landskap rumah kediaman anda menjadi sesuatu impian yang menjadi realiti

* ~ * ~ * ~ * ~ *

No comments:

Post a Comment